Thursday, February 26, 2009

Janganlah Mudah Berputus Asa

Patutkah kita manusia yang sempurna tubuh badan yang dikurniakan oleh Allah mudah berputus asa bila sedikit ujian yang Dia turunkan pada kita. Orang yang mudah berputus asa tiada pegangan agama yang kukuh mudah goyah bila sedikit saje ujian yang Allah turunkan.Bahkan Allah sendiri berfirman dalam hal ini dalam Al-Quran :

“Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

Dan dalam ayat yang lain Allah menerangkan: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan; Kami telah beriman sedang mereka tidak diuji lagi?”

Ujian yang dihadapi berbeza antara seorang insan dengan insan yang lain. Ada yang diuji dengan kegagalan dalam sesuatu perkara, ada yang diuji dengan penindasan dan masalah, ada yang diuji dengan kebaikan, kekayaan, kemiskinan dan bahkan ada juga yang diuji dengan kesalahan, dosa-dosa, dan sebagainya. Pendek kata, semua orang pernah dan akan diuji. Persoalan yang penting yang ingin disampaikan bukanlah sekadar untuk membezakan bentuk ujian tersebut namun apa yang lebih penting bagaimana kita menghadapi ujian dan cabaran tersebut.

Jadi apakah tindakan kita dalam berhadapan dengan ujian tersebut. Adakah kita perlu kecewa dan marah atau berputus asa apabila berhadapan dengan pelbagai bentuk ujian tersebut? Bukankah sepatutnya sebagai seorang Muslim kita sepatutnya menjadikan ujian tersebut sebagai batu loncatan yang mengubah kita menjadi seorang yang lebih baik dan mengubah keadaan tersebut menjadi lebih baik.

Dalam ujian dikurniakan jika jangan mengaku kalah,bangkit semula membina hidup anda yang lebih sempurna. Mungkin ada hikmah setiap ujian yang Dia sembunyikan dari kita.Kalau kita jatuh,bangunlah semula.2 kali jatuh 3 kali bangun,5 kali jatuh 6 kali bangun.Inilah sifat seorang muslim yang sejati. Dalam erti kata lain kita harus berusaha bersungguh-sungguh menghadapi segala halangan dan ujian.Okey sekarang saya nak kongsikan sebuah video untuk anda semua tontoni. Seorang insan yang tidak sempurna sifatnya tapi kuat semangat untuk mengecapi kehidupan.






Wednesday, February 25, 2009

Hidup Dengan Tuhan

" Hidup Dengan Tuhan - bermaksud Tuhan itu menjadi teras dalam kehidupan.Tuhan Itu diimani & dijadikan pegangan.Segala apa pun dalam hidup ini dikaitkan & disandarkan kepada Tuhan.Kita menumpang kekuatan TUHAN."

Tuhan tidak mahu kita menjadi baik atas dasar fitrah semata-mata tapi atas dasar Tuhan dan kerana Tuhan.

Fitrah ialah kehendak atau keinginan semulajadi manusia. Kehendak fitrah manusia itu, ada yang utama dan ada yang kurang utama. Yang utamanya hanya satu iaitu kehendak atau keinginan untuk bertuhan . Yang kurang utamanya banyak. Ini termasuklah keinginan untuk berkasih sayang, berkawan, suka kepada kecantikan dan keindahan, keharmonian, kedamaian, ketenangan dan keamanan serta suka kepada sifat-sifat yang baik seperti lemah-lembut, pemurah, rendah diri, pemaaf dan sebagainya.

Sebenarnya kita boleh hidup aman damai hanya dengan mengikut fitrah kita. Terutama kalau fitrah kita itu masih baik dan belum dirosak atau dicemarkan oleh suasana. Dengan mengikut fitrah seperti ini sahaja, masyarakat boleh menjadi tenang, harmoni dan bertolong-bantu. Memang itulah keinginan fitrah dan manusia akan berbuat mengikut keinginan fitrahnya itu.

Ini dapat kita lihat di dalam masyarakat orang asli yang hidup di hutan. Atas dorongan fitrah, mereka dapat berinteraksi dan berhubung dengan baik di antara satu sama lain. Mereka mampu mewujudkan masyarakat yang mempunyai jalinan yang rapat, bersatu padu dan berharmoni.

Di dunia lain pula terdapat masyarakat yang hidup aman damai. Kalaupun mereka ada undang-undang untuk menghukum penjenayah dan orang-orang yang membuat salah laku, mereka sebenarnya banyak terpandu oleh etika dan kod sosial atau "social code" masyarakat mereka yang telah diterima bersama. Kadang-kadang etika atau kod sosial ini terkandung di dalam budaya atau tradisi hidup mereka. Ianya tidak bertulis tetapi semua ahli masyarakat memahami dan mengamalkannya.

Etika dan kod sosial ini tercetus atas dorongan fitrah dan keinginan bersama yang mahukan ketenangan, keharmonian dan kedamaian dalam masyarakat mereka.

Tetapi ini ialah kedamaian dengan fitrah, bukan kedamaian dengan Tuhan. Tuhan tidak mahu kita damai dan menjadi baik atas dasar fitrah semata-mata. Tuhan mahu kita jadi baik atas dasar Tuhan dan kerana Tuhan.

Baik seperti ini ialah baik semulajadi. Baik yang datang sendiri. Baik yang tidak diusahakan. Seseorang itu dilahirkan baik atau dia hidup dalam suasana yang baik. Maka dia pun jadi baik. Ia bukan baik kerana mujahadah atau kerana takutkan Tuhan.

Kedamaian dan kebaikan atas dasar fitrah tidak tahan diuji. Orang yang baik atas dasar fitrah atau orang yang semulajadinya baik, bila berlaku sesuatu ujian, baiknya akan hilang dan jahatnya akan terserlah. Orang yang pemarah dan panas baran; contohnya, akan tenang sekiranya keadaan tidak menekannya. Tetapi kalau dia ditekan dan disusahkan, dia akan jadi berang dan akan mengamuk. Orang yang tidak sabar dan tidak redha pula akan nampak tenang apabila semua keperluannya cukup. Tetapi kalau keperluannya berkurangan atau dikurangkan atau dia jatuh miskin, dia akan mula meracau dan mengeluh. Boleh jadi dia akan putus asa. Begitulah seterusnya.

Hidup dengan Tuhan bermaksud Tuhan itu menjadi teras dalam kehidupan. Tuhan itu diimani dan dijadikan pegangan. Segala apa pun dalam hidup ini dikaitkan dan disandarkan kepada Tuhan. Kita menumpang kekuatan Tuhan. Kedamaian, ketenangan dan keharmonian dalam masyarakat dicapai basil dari cinta dan takut dengan Tuhan.

Sifat-sifat baik yang tercetus pada diri individu itu adalah hasil dari mujahadah dan memperbaiki diri atas dorongan rasa takut dengan Tuhan . Sifat-sifat baik yang tercetus pada diri kita hasil dari mujahadah dan kerana kita takut dengan Tuhan, lebih kekal dan tahan diuji.

Oleh sebab kita melalui proses mujahadah, sifat-sifat tersebut tertanam dalam jiwa dan hati kita. Ia mencengkam hati nurani kita. Dia tidak hanya melekat atau tersangkut begitu sahaja pada hati kita. Kalau diuji, kita tahan. Kalau sabar, kuat sabarnya. Kalau pemurah, sangat pemurah. Masa ada, pemurah, masa tidak ada pun pemurah dan sebagainya. Oleh itu, bila kita hidup dengan Tuhan, kita mudah tenang dan sabar dengan susah dan ujian kerana kita bersandar dengan Tuhan. Kalau dalam susah dan ujian pun kita boleh tenang, maka lebih-lebih lagilah kita boleh tenang dalam kesenangan dan kemewahan.

Tuhan itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Dia mahu diri-Nya dilibatkan sama dalam segala urusan dan masalah hamba-hamba-Nya. Tuhan seolah-olah berkecil hati kalau kita tidak libatkan Dia dalam urusan dan masalah kita. Pada Tuhan, hamba-hamba-Nya itu adalah kepunyaan-Nya. Dialah yang paling berhak untuk membantu dan menolong hamba-hamba-Nya. Janganlah kita kesampingkan Dia. Marilah kita hidup dengan-Nya.

Monday, February 23, 2009

Sajak Ingatlah Kematian

Ingatlah kematian itu
dari detik ke detik
dan dari saat ke saat

Justru itu Allah tidak janjikan kematian kita
di waktu tua

Begitu juga Allah tidak janjikan kematian kita
disebabkan sakit
tidak pun sakit pun boleh mati juga

Oleh itu jangan senang hati
kematian pasti kan berlaku
tunggulah kematian dari nafas ke nafas
agar kita tidak angan-angan melalaikan

Ingatlah sentiasa Tuhan setiap waktu
karena kematian kita tidak tahu

Ingatlah mati di dalam sebarang hal
agar kita sentiasa gentar dengan Tuhan

Oleh itu bersiap sedialah usahakan iman dan taqwa
sebagai bekalan menuju akhirat yang kekal abadi

Hidup di dunia hanya sekali
bila pergi tak akan kembali
tersilap di dunia padahnya diterima di sana.

Mengapa kita belum pun menambah amalan
sedangkan umur makin lama berkurangan
apabila sudah sampai ke sempadan akan menyesal

Oleh itu bersiap sedialah usahakan iman dan taqwa
sebagai bekalan menuju akhirat yang kekal abadi

Hidup di dunia hanya sekali
bila pergi tak akan kembali
tersilap di dunia padahnya diterima di sana.

[sebuah sajak dari seorang guru sufi]
[sajak ini ditulis tahun 1997]
Video Panduan eBay
Video Panduan eBay