Wednesday, February 25, 2009

Hidup Dengan Tuhan

" Hidup Dengan Tuhan - bermaksud Tuhan itu menjadi teras dalam kehidupan.Tuhan Itu diimani & dijadikan pegangan.Segala apa pun dalam hidup ini dikaitkan & disandarkan kepada Tuhan.Kita menumpang kekuatan TUHAN."

Tuhan tidak mahu kita menjadi baik atas dasar fitrah semata-mata tapi atas dasar Tuhan dan kerana Tuhan.

Fitrah ialah kehendak atau keinginan semulajadi manusia. Kehendak fitrah manusia itu, ada yang utama dan ada yang kurang utama. Yang utamanya hanya satu iaitu kehendak atau keinginan untuk bertuhan . Yang kurang utamanya banyak. Ini termasuklah keinginan untuk berkasih sayang, berkawan, suka kepada kecantikan dan keindahan, keharmonian, kedamaian, ketenangan dan keamanan serta suka kepada sifat-sifat yang baik seperti lemah-lembut, pemurah, rendah diri, pemaaf dan sebagainya.

Sebenarnya kita boleh hidup aman damai hanya dengan mengikut fitrah kita. Terutama kalau fitrah kita itu masih baik dan belum dirosak atau dicemarkan oleh suasana. Dengan mengikut fitrah seperti ini sahaja, masyarakat boleh menjadi tenang, harmoni dan bertolong-bantu. Memang itulah keinginan fitrah dan manusia akan berbuat mengikut keinginan fitrahnya itu.

Ini dapat kita lihat di dalam masyarakat orang asli yang hidup di hutan. Atas dorongan fitrah, mereka dapat berinteraksi dan berhubung dengan baik di antara satu sama lain. Mereka mampu mewujudkan masyarakat yang mempunyai jalinan yang rapat, bersatu padu dan berharmoni.

Di dunia lain pula terdapat masyarakat yang hidup aman damai. Kalaupun mereka ada undang-undang untuk menghukum penjenayah dan orang-orang yang membuat salah laku, mereka sebenarnya banyak terpandu oleh etika dan kod sosial atau "social code" masyarakat mereka yang telah diterima bersama. Kadang-kadang etika atau kod sosial ini terkandung di dalam budaya atau tradisi hidup mereka. Ianya tidak bertulis tetapi semua ahli masyarakat memahami dan mengamalkannya.

Etika dan kod sosial ini tercetus atas dorongan fitrah dan keinginan bersama yang mahukan ketenangan, keharmonian dan kedamaian dalam masyarakat mereka.

Tetapi ini ialah kedamaian dengan fitrah, bukan kedamaian dengan Tuhan. Tuhan tidak mahu kita damai dan menjadi baik atas dasar fitrah semata-mata. Tuhan mahu kita jadi baik atas dasar Tuhan dan kerana Tuhan.

Baik seperti ini ialah baik semulajadi. Baik yang datang sendiri. Baik yang tidak diusahakan. Seseorang itu dilahirkan baik atau dia hidup dalam suasana yang baik. Maka dia pun jadi baik. Ia bukan baik kerana mujahadah atau kerana takutkan Tuhan.

Kedamaian dan kebaikan atas dasar fitrah tidak tahan diuji. Orang yang baik atas dasar fitrah atau orang yang semulajadinya baik, bila berlaku sesuatu ujian, baiknya akan hilang dan jahatnya akan terserlah. Orang yang pemarah dan panas baran; contohnya, akan tenang sekiranya keadaan tidak menekannya. Tetapi kalau dia ditekan dan disusahkan, dia akan jadi berang dan akan mengamuk. Orang yang tidak sabar dan tidak redha pula akan nampak tenang apabila semua keperluannya cukup. Tetapi kalau keperluannya berkurangan atau dikurangkan atau dia jatuh miskin, dia akan mula meracau dan mengeluh. Boleh jadi dia akan putus asa. Begitulah seterusnya.

Hidup dengan Tuhan bermaksud Tuhan itu menjadi teras dalam kehidupan. Tuhan itu diimani dan dijadikan pegangan. Segala apa pun dalam hidup ini dikaitkan dan disandarkan kepada Tuhan. Kita menumpang kekuatan Tuhan. Kedamaian, ketenangan dan keharmonian dalam masyarakat dicapai basil dari cinta dan takut dengan Tuhan.

Sifat-sifat baik yang tercetus pada diri individu itu adalah hasil dari mujahadah dan memperbaiki diri atas dorongan rasa takut dengan Tuhan . Sifat-sifat baik yang tercetus pada diri kita hasil dari mujahadah dan kerana kita takut dengan Tuhan, lebih kekal dan tahan diuji.

Oleh sebab kita melalui proses mujahadah, sifat-sifat tersebut tertanam dalam jiwa dan hati kita. Ia mencengkam hati nurani kita. Dia tidak hanya melekat atau tersangkut begitu sahaja pada hati kita. Kalau diuji, kita tahan. Kalau sabar, kuat sabarnya. Kalau pemurah, sangat pemurah. Masa ada, pemurah, masa tidak ada pun pemurah dan sebagainya. Oleh itu, bila kita hidup dengan Tuhan, kita mudah tenang dan sabar dengan susah dan ujian kerana kita bersandar dengan Tuhan. Kalau dalam susah dan ujian pun kita boleh tenang, maka lebih-lebih lagilah kita boleh tenang dalam kesenangan dan kemewahan.

Tuhan itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Dia mahu diri-Nya dilibatkan sama dalam segala urusan dan masalah hamba-hamba-Nya. Tuhan seolah-olah berkecil hati kalau kita tidak libatkan Dia dalam urusan dan masalah kita. Pada Tuhan, hamba-hamba-Nya itu adalah kepunyaan-Nya. Dialah yang paling berhak untuk membantu dan menolong hamba-hamba-Nya. Janganlah kita kesampingkan Dia. Marilah kita hidup dengan-Nya.

No comments:

Video Panduan eBay
Video Panduan eBay